RISDA sasar bantu lebih 400,000 pekebun kecil tahun depan

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan untuk membantu lebih 400,000 pekebun kecil di seluruh Malaysia pada tahun depan menerusi peruntukan hampir RM700 juta.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya merancang meningkatkan lagi komitmen menerusi pelaksanaan pelbagai program yang bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti pekebun kecil tetapi berjaya mengimbangi pendapatan mereka.

“Buat masa ini rekod menunjukkan purata jualan bagi kelompok usahawan ini mencapai sekitar RM4,700 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat RISDA Bulan Ogos 2023 anjuran Bahagian Dasar & Perancangan Strategik (BDPS) di sini pada Selasa.

Noraini menjelaskan, kerajaan terus memberikan kepercayaan kepada RISDA dengan peningkatan peruntukan setiap tahun seiring dengan kecemerlangan yang diraih agensi berkenaan.

Katanya, pada tahun ini, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM676.4 juta bagi meneruskan kelestarian penanaman getah dan menyediakan perkhidmatan sokongan untuk meningkatkan pendapatan.

Sempena perhimpunan itu, Noraini turut melancarkan Program Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 serta menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman (MoU) RISDA dan MARDEC berkait pengurusan pemasaran hasil getah pekebun kecil.

Beliau juga menyampaikan sijil penghargaan Pertandingan Inovasi iCompex 2023, Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan dan selain diadakan sambutan Bulan Kemerdekaan 2023.

Kongsikan artikel ini di media sosial anda